Sunday, February 7, 2010

BAGAIMANAKAH TECHNOLOGY INTEGRATION PLANNING (TIP) DAPAT MEMBANTU PROGRAM PEMBESTARIAN SEKOLAH?

Sistem pendidikan sedia ada perlu dimantapkan selaras dengan perkembangan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Beberapa penambahbaikan dalam pelbagai aspek perlu dilakukan supaya ianya berdaya saing dan relevan dengan kehendak semasa. Pewujudan Sekolah Bestari merupakan satu senario dalam pendidikan alaf baru di Malaysia dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial serta budaya masa kini. Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan menggabungkan serta memberikan penekanan terhadap beberapa aspek, antaranya pengajaran dan pembelajaran berbudaya fikir, pemusatan kepada pelajar, penggunaan bahan teknologi secara bijak, strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, serta pengurusan sekolah
yang efektif.

Pembestarian Sekolah merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi pengunaan ICT dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan kompetensi guru. Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari iaitu sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi maklumat. Komponen utama Pembestarian Sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian Sekolah ini akan dapat melatih guru dan murid berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).

Pengajaran dan Pembelajaran Sekolah Bestari mengandungi empat komponen utama, iaitu kurikulum, pedagogi, pentaksiran dan bahan pengajaran-pembelajaran.

Dalam pengajaran-pembelajaran bestari, kurikulum direkabentuk bagi memastikan murid mencapai perkembangan seimbang dan menyeluruh dari segi intelektual, rohani, jasmani dan emosi bagi membolehkan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai, bagi menyediakan sumber manusia yang berfikiran kritis dan kreatif serta celik teknologi serta menambahkan penglibatan pihak berkepentingan dalam proses pembelajaran di sekolah.

Sistem pentaksiran yang membolehkan pengukuran pencapaian hasil pembelajaran yang seimbang dan menyeluruh, dengan pentaksiran yang autenik, bagi mengekalkan minat murid. Pentaksiran dilakukan dalam bilik darjah, pada peringkat sekolah dan pada peringkat pusat bagi memastikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai.
Pentaksiran pengajaran pembelajaran bestari yang berterusan adalah pelengkap kepada pengajaran dan pembelajaran. Fokus pentaksiran ialah untuk mendapat maklumat berkaitan dengan kemajuan pelajar dalam sesuatu mata pelajaran untuk memudahkan tindakan susulan. Skop pentaksiran meliputi kesediaan, peningkatan, pencapaian dan sikap. Guru memainkan peranan penting dalam mengesan kemajuan, kebolehan, minat, dan kecenderungan pelajar.

Pentaksiran pengajaran pembelajaran bestari seharusnya berpusatkan pelajar dan mengambil kira nilai, minat, sikap dan kecenderungan pelajar. Pentaksiran tidak tertumpu kepada laporan prestasi akademik pelajar melalui markah atau gred sahaja.

Ciri-ciri pentaksiran Sekolah Bestari adalah menyeluruh (holistik), berasaskan elemen, rujukan kriteria, perpusatkan pelajar, dalam talian (on line), dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, menggunakan pelbagai instrumen dan pendekatan, serta dijalankan secara berterusan.

Pedagogi, yang terdiri daripada pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran-pembelajaran, mengambil kira perbezaan individu dari segi gaya pembelajaran dan kecederasan pelbagai. Ini bermakna strategi dan kaedah yang berbeza yang digunakan bagi menjalankan pengajaran-pembelajaran, dan dengan bahan pengajaran dan pembelajaran untuk merangsangkan pemikiran secara kreatif dan kritis.

Kesimpulan

Integrasi ICT dalam P&P merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan semua pihak. Sekolah tidak ada pilihan lain melainkan menerima perubahan dan fenomena ICT serta guru-guru perlu cepat menguasai ilmu dan ketrampilan ICT untuk diterapkan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk itu penglibatan pemimpin sekolah dalam membina polisi, pelan pembangunan ICT dan sokongan terhadap program pembangunan staf adalah menjadi teras utama. Sokongan dan sumbangan pihak luar harus dilihat sebagai satu peluang untuk memantapkan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Saturday, January 30, 2010